Pokok stevia bukan sahaja boleh menggantikan gula malah lebih murah dan mudah. |
Guna stevia ganti gula
Kerajaan disarankan agar menggantikan penggunaan gula sebagai pemanis dengan tumbuhan stevia yang mampu mengurangkan kadar penyakit diabetis di kalangan orang ramai.
Pengurus Besar C. T. Lang Development (M) Sdn. Bhd., Abdullah Mohamad berkata, penggunaan tumbuhan itu adalah satu cara yang terbaik untuk menangani masalah tersebut.
"Tumbuhan stevia yang mampu tumbuh subur di negara ini dapat menstabilkan kandungan gula dalam darah dan pada masa yang sama dapat menurunkan risiko menghidapi diabetis," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan khasUtusan Malaysia kelmarin yang mengupas ketagihan rakyat negara ini yang tergamak meracuni diri mereka dengan racun yang bernama 'gula'.
Tabiat ini sekali gus menyumbang kepada kematian dan dilaporkan empat daripada lima pesakit diabetes di negara ini akan mati akibat penyakit jantung selain enam kejadian strok yang berlaku pada setiap jam.
Tambah Abdullah, berbanding gula, stevia adalah 30 kali ganda lebih manis dan harganya juga lebih murah.
"Di Jepun, kerajaannya menggunakan tumbuhan ini sebagai sumber kemanisan mereka, kenapa tidak di sini?
"Pada pendapat saya, penggunaan stevia menggantikan gula adalah satu langkah yang menguntungkan dan berkesan," ujarnya.
Tambahnya, sejak beberapa kilang memproses gula di Chuping, Perlis dan Padang Terap, Kedah ditutup, negara mengimport gula daripada India.
Jelasnya, aktiviti mengimport gula menyebabkan aliran keluar wang tinggi sekali gus merugikan negara.
"Justeru, saya turut menggalakkan orang ramai mengubah tabiat pemakanan melibatkan gula mereka kepada tumbuhan ini yang jelas lebih berfaedah kepada kesihatan mereka," ujarnya.











